Habis juga pengajian bagi semester dua ini. Semester yang
aku kira lebih sistematik pengurusan masaku berbanding semester lepas. Walaupun
terlibat dengan pelbagai program terutamanya program anjuran kolej, namun aku
masih mampu waras akan keutamaan dalam menuntut ilmu.
Subjek Aplikasi Komputer khususnya telah banyak
mengembangkan ilmu pengetahuan si dungu ini. Pendedahan kepada dunia IT yang
luas membuatku sedar akan kepentingan penggunaan akses IT dalam bidang yang
bakal kuceburi nanti.
Semasa kelas pertama subjek ini, satu perkara yang tidak dapat
aku lupa adalah tentang pensyarahnya sendiri. Sifat spontan Encik Azzwan pada
awalnya telah berjaya menarik minat pelajarnya. Sesi perkenalan menjadi perkara
utama semasa kelas pertama. Bukan sahaja perkenalan sesama rakan sekelas tetapi
juga kepada skop pembelajaran yang bakal dilalui sepanjang semester ini.
Perkara paling aku minati bagi subjek ini, aku berpeluang
untuk mempunyai blog sendiri dan mampu menghasilkan entry blog setiap minggu. Aku pernah
mempunyai blog sendiri dahulu tetapi disebabkan kekurangan keyakinan dan ilmu,
aku terus membiarkan blog itu lupuk dimakan masa.
Melalui blog, aku belajar untuk berkongsi ilmu walaupun
hanya secebis nilainya. Dari semasa ke semasa aku cuba perbaiki kelemahan aku
dalam pengurusan blog ini. Aku cuba mendapatkan bantuan dan ajaran daripada kawan-kawan yang hebat dalam perkara ni. Selain itu, Encik Azzwan juga suka memberikan
teguran yang ikhlas untuk penambahbaikan blog aku.
Dari header hinggalah ke isi kandungan dan widget-widget,
template dan sebagainya menunjukkan perkembangan ilmu yang aku perolehi dalam
dunia IT ini. Selain itu, perkara yang
paling aku minat semasa kelas ini adalah Encik Azzwan selalu berkongsi perkara-perkara yang memberi pengajaran supaya pelajarnya bukan sahaja berjaya dalam
akademik semata mata namun berada di tangga teratas dalam sahsiah juga.
Sekian sahaja picisan-picisan yang dapat aku nukilkan dalam
arena blog ini. Sebanyak 25 picisan telah terhasil dari ilmu penulis yang serba
kekurangan dan serba kerapuhan ini. Setakat ini masih tiada lagi rancangan untuk meneruskan karya dalam blog ini tapi jika diizinkan Tuhan, aku akan muncul kembali.
Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Encik Azzwan, kawan-kawan sekelas, dan semua pembaca blog ini. Doakan kejayaan saya dan kawan-kawan dalam peperiksaan akhir yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Selamat.