“Okfine!”
Antara ayat kegemaran orang yang merajuk pada masa kini. Kita
tak lepas dari keadaan ini. Jika tidak orang lain di sekitar kita yang merajuk,
kita pula yang merajuk. Setiap manusia itu kaya dengan perasaan. Walau nampak keras
macam mana pun seseorang itu, pasti ada juga sifat ini walaupun jauh dalam
lubuk hati.
Kadangkala keadaan memungkinkan kita tidak sependapat dengan
orang lain. Perkara ini lalu membawa kepada keadaan di mana kita berasa
berkecil hati, lalu mencuba dan semakin cuba menjauhkan diri dari kumpulan
tersebut. Walaupun kita berasa sedih tetapi kita masih mencuba memencilkan diri
bukannya menceritakan kesedihan kita kepada orang lain yang rapat.
Dalam hidup bermasyarakat ini, kita perlulah bersedia dan
melatih diri untuk menerima cadangan, pendapat dan kritikan daripada orang
lain. Usah senang terasa walaupun sememangnya kita berada di pihak yang benar
dan dizalimi, cubalah kita suarakan kebenaran itu melalui prosedur dan haluan
yang betul. Jangan pernah ambil tindakan terburu-buru. Terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata badan binasa.
Selain itu, kita mestilah sentiasa menjaga hubungan yang
baik antara manusia. Jagalah percakapan, perbuatan kita. Ingat, bukan kita suka
semua dan bukan semua suka kita. Oleh itu, jadilah profesional dalam mengemudi
komuniti mengatasi pelbagai rintangan. Ini mampu memberi impak positif kepada
sekalian insan yang terlibat bersama-sama kita.
Janganlah mudah merajuk andai rasa didustai. Janganlah merajuk
andai rasa dikhianati. Janganlah merajuk andai rasa dijauhi.
Bukannya salah untuk merajuk. Sememangnya, jiwa kita ini
umpama kaca. Amat sensitif. Andai hidup diuji dengan onak duri, usah malu untuk
cari individu yang dipercayai untuk berkongsi kedukaan. Dari situ pasti kita
mengenali ramai orang yang menjadi intan ataupun kaca.
No comments:
Post a Comment