Monday, April 21, 2014

#07 - BAKTI

Dari rakyat kita datang, ke rakyat juga kita berbakti.



Saya telah dikehendaki menyediakan laporan tentang Program Bakti Siswa 5 yang telah dijalankan dalam blog ini. Perkara ini perlu untuk menunjukkan kreativiti disamping penggunaan pengurusan teknologi matlumat setiap ahli jawatankuasa program. Alhamdulillah, pada 4-8 April 2014 yang lepas, telah berlangsungnya Program Bakti Siswa (BAKSIS) yang diadakan di Kg. Sg. Pial, Kedah. Program yang dibawa oleh Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) ini bertujuan untuk memberi khidmat masyarakat di samping mengeratkan hubungan pihak kolej bersama komuniti setempat dan juga sesama penghuni-penghuni kolej.

Perjalanan ke Kedah menaiki bas bersama penghuni-penghuni kolej yang lain diadakan pada waktu malam. Perjalanan yang jauh sememangnya memenatkan dan menyenangkan untuk para peserta tidur. Peserta tiba di lokasi program pada jam 7.00 pagi. Kami menikmati sarapan kami di rumah kediaman Pengerusi JKKK sebelum terus ke dewan untuk Majlis Penyerahan Anak Angkat. Kerjasama antara AJK dan peserta dapat dilihat tatkala semua berganding bahu mengangkat barang serta beg-beg untuk dibawa turun dari bas.

Rasa bangga terserlah ketika menyanyikan lagu Varsiti Kita semasa majlis tersebut. Majlis diakhiri dengan penyerahan peserta kepada keluarga angkat masing-masing. Ini merupakan saat yang amat dinanti. Setiap peserta tidak sabar untuk mengetahui siapa yang bakal menjadi ayah dan ibu angkat mereka. 2 atau 3 orang peserta akan diletakkan dalam satu keluarga angkat. Saya telah ditempatkan bersama 2 orang peserta Tahun 2. Sebelum ini, saya hanya mengetahui mereka ini sekadar sama satu kolej. Ini merupakan cabaran untuk saya mengekang batasan dalam diri saya untuk mengenali mereka dengan lebih rapat lagi. Alhamdulillah, mereka amat baik dan menganggap saya sebagai adik mereka sendiri.



Kami berjalan kaki ke rumah ibu angkat kami yang kami panggil Mak sambil membawa sumbangan beras dan sedikit barangan dapur. Kami tiba di rumah Mak lalu disambut dengan penuh tangan terbuka. Kami bertaaruf sambil mencari nilai kemesraan sebagai sebuah keluarga yang baru. Keadaan ini amat saya suka kerana walaupun dalam keadaan asing antara satu sama lain tetapi setiap individu gigih berusaha untuk menidakkan keasingan itu. Setelah mengenali diri masing-masing, barulah kami mudah untuk berinteraksi antara satu sama lain.

Pelbagai aktiviti kami jalankan di sini seperti Pertandingan Futsal antara wakil kolej dengan kumpulan-kumpulan futsal kampung tersebut mendapat sambutan sehingga lewat malam. Selain itu, majlis perasmian program bersama Hari Koperasi telah dirasmikan oleh Adun Kawasan tersebut. Aktiviti sukaneka amat menggamit kegirangan setiap orang walaupun terpaksa berjemur di bawah sinaran mentari yang terik. Sukan yang paling menarik perhatian adalah Tarik Upih dengan Kukur Buah Kelapa. Permainan ini menarik perhatian kerana dianggap unik dan istimewa bagi peserta yang tidak biasa dengan permainan ini. Pengalaman bermain Tarik Upih merupakan pengalaman baru bagi saya. Sememangnya,, BEST!!!!!!!! . hahaha.




Kami juga berpeluang untuk bersama-sama komuniti 1Malaysia kampung tersebut dalam menjalankan aktiviti gotong-royong di kawasan masjid dan tadika. Antara yang menjadi perhatian adalah kami dijemput penduduk kampung untuk bersama-sama dalam mengalihkan kubur dari kawasan sebuah rumah ke tapak perkuburan. Ramai peserta yang menggunakan masa ini untuk menimba pengetahuan dan pengalaman baru. Perkongsian daripada pihak Jabatan Agama Islam yang hadir menguatkan pengetahuan kami tentang prosedur pengalihan ini. Peserta terlibat dalam sesi penggalian tanah, mengalihkan tulang-tulang dan juga mengkafankan.


Masa yang terluang digunakan untuk menghabiskan masa bersama keluarga angkat. Saya berpeluang untuk pergi ke Alor Setar dan Sg. Petani bersama Mak dan Abah, dan Abang Ilmi dan Abang Wan. Ini membuatkan saya berasa seperti bersama sebuah keluarga yang telahpun berkenalan lama. Abah suka bercerita tentang kawasan sekitar, bermulanya sejarah kawasan tersebut hinggalah ke demografi kawasan tersebut sekarang. Pelbagai informasi dan cerita-cerita lagenda dapat saya dengari sepanjang jalan yang lurus sambil menikmati suasana matahari terbenam di kawasan petang sawah yang seluas pemandangan.
Semasa Majlis Penutupan, hati berasa pilu semasa menyanyikan lagu “Kenangan Terindah” bersama keluarga angkat masing-masing. Sememangnya Mak dan Abah teramat menyukai kehadiran mereka di rumah mereka kerana mereka hanya berdua di rumah itu. Mak selalu berpesan agar kami bertiga datang melawatnya nanti. Kami mulai pulang pada pukul 6 petang.

Sebenarnya terlalu banyak perkara yang ingin disampaikan tetapi cukup terbatas untuk menceritakannnya dalam nukilan ini. Hanya gambar-gambar dan kenangan dalam minda menjadi pengubat rindu kami sepanjang program ini berlangsung.

Akhir kata, TERIMA KASIH MAK, ABAH, ABANG ILMI dan ABANG WAN. J






Pada 15 April 2014 yang lepas, kami adik beradik angkat amat terkejut tatkala mendapat makluman daripada salah seorang ahli keluarga Mak dan Abah. Mesej yang menyatakan bahawa Abah meninggal dunia. Kami sememangnya amat terkejut kerana semasa kami tinggal bersama Abah, dia cukup sihat, cukup tenang. Tidak pernah kami nampak dia sakit, mahupun mengeluh. Sememangnya berita ini amat menyedihkan kami. Rupanya Abah sakit jantung tetapi dia tidak mahu kami mengetahui keadaannya itu semasa kami tinggal di sana. Terima kasih Abah kerana terima kami dengan penuh kegirangan. Terima kasih Abah kerana meluangkan masa membawa saya berjalan dan belanja makan. Terima kasih Abah kerana sudi menjadi Ayah angkat kami bertiga. Al Fatihah, Abah Nordin. L





2 comments:

  1. Salam..ade lagi x contact jkk kg yg blh saya berurusan

    ReplyDelete
  2. Salam..ade lagi x contact jkk kg yg blh saya berurusan

    ReplyDelete