Tuesday, May 13, 2014

#14 - KENANGAN DRAMA

Anda minat berdrama? Aku mula berkecimpung dalam bidang drama semasa di bangku sekolah lagi. Semasa di Tingkatan 2, aku mula berjinak dalam arena ini hanya sebagai pembantu prop sahaja. Tugas aku pada mulanya adalah menjaga buka tutupnya tabir di atas pentas. Semasa melihat kesungguhan rakan-rakan seperjuangan memainkan watak masing-masing semasa sesi latihan dan pertandingan membuatkan ku berasa tercabar untuk menjadi salah seorang pelakon dalam pasukan drama sekolah.




Semasa di Tingkatan 3, aku menghadiri sesi pemilihan barisan pelakon bagi mewakili sekolah dalam Pertandingan Drama Pentas Bahasa Inggeris peringkat daerah. Seperti mengiyakan harapan aku tahun lepas, aku telah dipilih sebagai pelakon utama bagi drama itu. Aku dibekalkan dengan skrip penuh drama itu. Kisah penderitaan seorang anak dalam sebuah keluarga yang sentiasa dibuli kakak-kakaknya yang lalu hidup menjadi senang tatkala berjumpa putera idaman hati. Kisah yang unik dan amat menarik pada pemikiran aku.

Semasa sesi latihan pertama, baru aku tahu betapa sukar dan gusarnya perasaan tatkala membawa watak di hadapan orang ramai. Baru ku tahu rasanya menahan malu ketika berhadapan penonton. Baru ku tahu akan kawalan suara yang betul dalam menyampaikan cerita. Aku dilatih untuk berbicara dengan suara, nada dan lenggok yang betul. Di samping itu, aku turut mengambil kesempatan untuk belajar memperbaiki Bahasa Inggeris ku.

Pembawaan watak amatlah penting kerana melalui kita, segala pengajaran, nilai, emosi, dan kualiti cerita itu sendiri dapat terserlah. Segala keringat dikongsi bersama ahli pasukan yang sentiasa komited dalam melakukan tugas masing-masing hinggalah ke hari pertandingan.




Hari yang dinanti telah tiba, aku berdiri di hadapan ramai pelajar sekolah. Aku bukan menjadi diri aku di atas pentas itu. Telah ku hakis diriku digantikan dengan watak lakonan aku sahaja. Segala perasaan gugup dan malu aku tinggalkan ke belakang demi memberi yang terbaik kepada kumpulan kami.





Itulah sedikit coretan ku dalam arena drama ini. Kini, setelah beberapa tahun tidak aktif dalam berdrama, perasaan malu mula menyalutiku kembali walaupun hanya berlakon untuk sementara dalam video. Tetapi pengalaman berlakon adalah suatu pengalaman yang amat bermakna dan membantu dalam perkembangan potensi diri.

No comments:

Post a Comment